BUAH 'BIRIBA' - KENAL DIA


BIRIBA (Rollinia deliciosa) merupakan sejenis buah sama macam buah Nona iaitu daripada keluarga Anonaceae. Dalam saya membuat rujukkan, tumbuhan ini juga didapati mempunyai banyak nama sinonim iaitu Annona biflora, Annona deliciosa, Annona mucosa, Annona obtusiflora, Annona pterocarpa, Annona reticulata var. mucosa.,  Rollinia deliciosa, Rollinia orthopetala, dan juga Rollinia biflora, Pokok ini didapati natif dari kawasan tropika Amerika Selatan dengan sesuai tumbuh dikawasan tropika dan sub-tropika diseluruh dunia. Kita di Malaysia kurang kenal akan buah ini dan penulis hanya berpeluang melihat pokok dan buahnya di Taman Pertanian Sabah di Lagud, Tenom, Sabah. Beberapa pokok biriba yang ditanam di taman ini semenjak tahun 2005 didapati sesuai tumbuh dan mampu berbuah dalam plot pemerhatian. Nama 'Biriba' adalah dalam Bahasa Brazil dan nama lain yang diberikan untuk buah ini adalah 'Wild sugar apple' dan 'Aratiku'. Melihat foto buah biriba diatas, anda tentunya kita boleh bayangkan isinya yang agak sama dengan nona kapri atau durian belanda yang sering kita jumpa di negara kita. Anda boleh baca artikel mengenai nona kapri atau durian belanda (Nona Kapri - Sila klik disini) dan (Durian Belanda - Sila klik disini). Mungkin kita boleh samakan buah ini dengan buah nona cuma ia adalah jenis yang berasal daripada Brazil dan dikomersilkan disana sebagai tanaman yang ekonomik. Artikel subuh Sabtu 14 Mac 2015 ini saya menulis satu lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis pokok buah yang jarang kita kenal dan dengar iaitu buah biriba untuk bacaan dan rujukkan anda.



Pokok buah biriba ini timbuh menegak dengan banyak cabang dan merimbun (Sila lihat foto disebelah). Ia merupakan jenis pokok yang cepat membesar, tahan kepada kawasan yang lembab atau banjir dan juga perlukan banyak sinaran matahari. Pokoknya mempunyai batang sederhana keras dan dahan yang mempunyai banyak daun. Ia mampu mencecah ketinggian antara 4 - 15 meter jika tidak dilakukan cantasan pembentukkan. Pemerhatian saya di Taman Pertanian Sabah mendapati pokok ini hidup subur dengan baik dengan batang kayu yang berkulit coklat grlap dan sederhana keras kayunya. Kajian di Brazil mendapati pokok birimba akan mula mengeluarkan bunga dan buah selepas 3 tahun ditanam. Bahan tanaman sering gunakan BIJI BENIH yang berwarna kehitaman. Biji benih yang berkualiti boleh disimpan dalam tempat gelap dan kering selama 2 tahun dan boleh ditanam lagi.  Teknik membuat benih melalui teknik 'air layering' dan 'grafting' juga boleh dilakukan untuk pokok birimba.


Buah Birimba agak besar dengan bentuk bulat dan mempunyai kulit seakan berduri lembut. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan akan menjadi kuning apabila cukup masak. Kulit yang lembut perlukan cara pengendalian buah dengan betul agar tidak jatuh dan terhempas menyebabkan kulit luarnya kehitaman dan isinya busuk. Apabila buah masak dibelah, akan dilihat isinya yang lembut berwarna krim putih dengan rasa mania sedikit masam (Sila lihat foto disebelah). Rasa buah ini bergantung kepada spesis, tahap kematangan dan juga jangkamasa diperam. Buah yang baru dipetik boleh diperam selama 3-7 hari sebelum ia sesuai dibelah dan dimakan segar. Ramai orang suka akan rasa manis, masam dan lemak pada buah birimba ini seakan buan durian belanda juga. Selain daripada dimakan segar, buah birimba juga boleh dibuat jus minuman. Kajian dinegara kita tidak ada rujukkan anggaran harga buah birimba kerana memang tidak ada dijual dipasaran. Saya hanya dapat tengok putik buah birimba di Taman Pertanian Sabah sahaja. Tidak dimaklumkan bila putik tersebut akan matang untuk merasa buah birimba tersebut. 


Tanaman ini ada potensi untuk ditanam dinegara kita jika ada mereka yang mungkin berminat. Benih pokok birimba hanya ada di Sabah dimana jika betul-betul ingin tanam boleh anda berhubung dengan Pengarah Pertanian Sabah untuk mendapatkannya. Paling mudah adalah minta buah atau bijinya yang boleh disemai dahulu sehingga benihnya boleh ditanam diladang. Belum ada laporan mengenai amalan agronomi penanaman pokok birimba tetapi penulis fikir teknologi penanaman pokok nona kapri dan durian belanda mungkin boleh digunakan. Kawasan tanah subur dengan saliran baik diperlukan untuk menanam birimba. Jarak tanaman juga sama dengan durian belanda dan juga pengurusan lainnya. Diharap akan ada mereka yang akan mencuba menanam pokok birimba seperti mana terdapat ramai usahawan yang mula meminati penanaman buah Figs dinegara kita. Wasallam!. 


MACAM ANONA...BUAH BIRIBA...
ASAL BRAZIL... KE MALAYSIA...
BUAH BERDURI... MANIS ISINYA...
KE TENOM.. ADA DITANAMNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 202, Hotel Sento,
Keningau, Sabah,
Malaysia.
(18 JamadilAwal 1436H)
Bersamaan 6 Mac 2015 








Artikel Terkait

Previous
Next Post »