HERBA dan REMPAH RATUS (Herbs and spices) adalah antara bahan masakan penting yang sudah menjadi sebahagian daripada sajian masyarakat di seluruh dunia sejak beribu tahun lamanya. Tanpa bahan ini lazimnya makanan yang diambil kurang enak. Tumbuhan ini adalah warisan yang tidak ternilai kepada manusia kerana selain menyedapkan lagi hidangan, herba juga mempunyai banyak khasiat berguna untuk penjagaan kesihatan badan dan kecantikan. Penulis dapati dikalangan masyarakat tempatan memang tidak dapat lari daripada beberapa bahan seperti lengkuas, halia, kunyit, bawang, lempoyang, cekur serta serai yang sememangnya sentiasa ada di dapur. Sejak dulu memang diketahui Herba Halia (Zingiber officinale) telah pun digunakan sebagai bahan untuk merawat luka dan juga ada digunakan untuk mencegah jangkitan parasit. Bagaimana pun tanaman ini kurang didedahkan mengenai khasiatnya terutama kepada sebahagian besar generasi masa kini. Mereka hanya mengenali halia hanya sebagai satu rempah ratus masakan sahaja. Tumbuhan ini dikatakan berkesan untuk merawat loya dan mual, namun untuk ibu yang hamil, pengambilan halia tidak digalakkan. Ia juga membantu untuk melegakan kesakitan perut selain mengelakkan kekejangan akibat cuaca panas. Di Asia Tenggara tanaman halia itu sebenarnya banyak digunakan untuk membantu menangani beberapa jenis penyakit seperti berkaitan penghadaman, angin serta memanaskan badan kerana ia kaya dengan pati minyak, oleoresin, protein, lemak, asid organik serta vitamin A, B, dan C. Dalam beberapa kes anda bergegas ke klinik berjumpa doktor dengan kesakitan sendi dan disarankan menggunakan kunyit untuk melegakannya. Sebelum ini ada kewujudan ubat-ubat sintetik, preskripsi rempah ratus sebagai penawar telah lama dipraktikkan. Herba-herba dan rempah ratus mempunyai sejarah yang lama sebagai penawar tradisional tetapi tidak diiktiraf sepenuhnya. Hari ini, para penyelidik bekerja keras untuk mengesahkan kebaikan herba-herba ini untuk kesihatan. Walau pun mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menyatakan herba-herba dan rempah ratus ialah 100 peratus berkesan mencegah penyakit tetapi sesetengahnya memberikan kesan positif. Kini beberapa syarikat berasaskan herba menghasilkan banyak jenis produk berasaskan herba menggunakan bahan seperti delima, madu, kurma, bunga cengkih, kulit kayu manis, kunyit, temulawak, halia, halba, habbatus sauda, lada hitam dan ikan haruan. Buka sahaja TV anda dihidangkan setiap beberapa minit dengan pelbagai jenis produk jus herba. Artikel subuh uni saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kegunaan herba, buah-buahan dan madu lebah serta beberapa rempahratus dalam beberapa produk kesihatan.
Buah Delima (Punica granatum) kini sering dipromosikan sebagai sejenis buah-buahan yang bernilai tinggi. Khasiat buah delima sudah diperakui sejak zaman dahulu lagi dimana menerusi teknologi moden kini para saintis mengesahkan bahawa kandungan anti oksidant di dalam buah delima amat tinggi berbanding buah-buahan lain (Sila lihat foto delima disebelah). Berdasarkan daripada kajian Jurnal Klinikal Nutrisi Amerika, anti oksidant dalam buah delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (jenis kolesterol jahat) pada tikus. Ujian terhadap 50 lelaki yang telah menjalani proses pengubatan kanser prostat yang diberi minum sebanyak 205 gram jus delima setiap hari telah didapati boleh melambatkan penggandaan PSA (ukuran perkembangan kanser prostat) dan dapat mengurangkan rawatan seperti kimoterapi atau terapi hormon.
Madu Lebah (Honey bee) merupakan sejensi produk yang dihasilkan oleh Lebah Madu, Kelulut dan sebagainya. Lebah Madu (Apis spp) sama ada daripada Lebah Import (Apis mllifera), Lebah Keran (Apis cerana) atau Lebah Tualang (Apis dorsata) atau Kelulut (Trigona spp) di negara kita kini mampu mengeluarkan produk madu asli berkualiti. Madu Asli yang dihasilkan berfungsi sebagai sumber efektif glukos. Sebuah jurnal kesihatan telah menyatakan kadar Glycemic index (GI ukuran untuk mengukur dampak negatif makanan dalam gula darah) yang rendah pada madu melambatkan penyerapan gula dalam darah sehingga menyihatkan sistem pencernaan. Selain itu produk madu asli juga berfungsi sebagai antibiotik dan membunuh kuman. Madu telah diambil sebagai makanan kesihatan semenjak beribu tahun dulu dan ada dinyatakan didalam AlQuran dalam Surah An-Nahl. Pastikan anda menggunakan madu asli dan bukan madu tiruan atau madu sintetik. Laporan daripada beberapa kertas maklumat dan akhbar tempatan ada menyatakan terdapat sekitar 60% madu tiruan beredar dinegara kita. Mengambil madu tiruan amat merbahaya untuk kesihatan.
Habbatus sauda (Nigella sativa) adalah sejenis herba yang juga dikenal dengan berbagai nama lain seperti black seed, black caraway, natura seed, jintan hitam, black cumin, nigella sativa, kaluduru dan pelbagai nama lain (Sila lihat foto sebelah). Ia ada digunakan sebagai herbal perubatan sejak 2000-3000 tahun sebelum Masehi dan ada tercatat dalam banyak literature kuno mengenai ahli perubatan terdahulu seperti Ibnu Sina (980 - 1037 M) dan Al-Biruni (973-1048 M), Al-Antiki, Ibnu Qayyim dan Al-Baghdadi. Ibnu Sina adalah bijakpandai dari kawasan Timur Tengah.
Dikenali sebagai jintan hitam, habbatus sauda yang telah pun digunakan sejak zaman purba Mesir diperakui saintis dunia sebagai memiliki khasiat yang tinggi. Kaedah rawatan alternatif ini baik untuk menguatkan imunitasi di dalam tubuh badan, melawan sel-sel kanser, menghilangkan sesak nafas, melancarkan haid, melegakan migrain dan sakit kepala dan boleh mengubati penyakit kulit seperti bisul dan kudis.
Temulawak (Curcuma zanthorhiza) merupakan sejenis umbisi daripada keluarga Zungiberaceae yang semakin penting dalam dunia herba (Sila lihat foto disebelah). Kandungan utama umbisi dari temulawak ialah seperti protein, karbohidrat, dan minyak ekstrak yang terdiri daripada camphor, glukoside, turmerol dan curcumin. Bahan Curcumin adalah unsur yang berguna sebagai anti inflamasi (anti radang) dan anti hepototoksik (anti keracunan hempedu). Temulawak memiliki kesan farmakologi iaitu sebagai bahan hepatoprotektor (mencegah penyakit hati), menurunkan kadar kolesterol, anti inflamasi (anti radang), diuretik (peluruh kencing), dan menghilangkan sakit sendi. Selain daripada itu, meningkatkan nafsu makan, dan membersihkan darah. Penanaman temu lawak di Malaysia masih ditahap kurang memberangsangkan. Petani yang ditemui menyatakan kesukaran untuk mencari pembeli dengan ketidaktentuan harga ladang menyebabkan ia kurang ditanam secara komersil.
Tanaman Kunyit (Cucuma domestica) merupakan sejenis herba yang sangat berguna. Penggunaan kunyit dalam kebanyakan masakan masyarakat India dipercayai berkait rapat dengan keupayaannya memulihara fungsi kecergasan otak seseorang. Keadaan ini juga dikatakan terbukti dengan kadar kelaziman penyakit Alzheimer yang lebih rendah di India berbanding negara-negara Barat. Antara komponen-komponen dalam kunyit yang bersifat antiradang, antioksida dan keupayaan mengurangkan kolesterol dipercayai memberi kesan positif kepada penyakit Alzheimer. Tanaman kunyit ada ditanam secara komersil oleh beberapa petani tetapi kebanyakannya ditanam sebagai tanaman keliling rumah dalam pasu untuk diambil daunnya dan umbisinya. Malaysia banyak mengimport kunyit daripada India dan Indonesia untuk kegunaan tempatan.
Bahan herba lain untuk dijadikan produk kesihatan adalah Kayu mania (Cinnamon) dan Halba. Kayu manis seperti yang juga didakwa oleh seorang profesor biokimia di Universiti California, Santa Barbara, Don Gravesmendapati Kayu manis akan memberi kesan kepada aliran kolesterol, trigliserid dan glukos seperti yang dilaporkan dalam kebanyakan kajian klinikal. Sementara itu Halba yang juga dikenali dengan tindakan antidiabetiknya,juga mempunyai kelebihan dalam penjagaan kulit. Benih halba digunakan pada kulit berulser dan sebagai emolien bagi merawat keradangan dalaman.Untuk tujuan kosmetik, halba digunakan sebagai pelembap kulit. Di negara-negara Barat, pakar-pakar herba biasanya memasukkan komponen halba dalam penyediaan produk melembutkan kulit. Apabila halba digunakan untuk aspek luaran, ia melegakan kulit.
Bunga cengkih (Syzygium aromaticum) merupakan sejenis herba penting dalam dunianya. Sejarah pokok cengkih secara ringkasnya dikatakan berasal dari Pulau Maluku dan tumbuh subur di bumi Zanzibar, Madagascar dan Indonesia. Pokok jenis malar hijau yang wangi dan tumbuh setinggi lapan hingga 12 meter ini berbunga pada bahagian hujung ranting dan kudup-kudup bunganya dipetik sebelum ia sempat mengembang. Secara tradisionalnya, bunga cengkih merupakan tumbuhan herba yang tidak boleh dipisahkan dalam masyarakat Malaysia dan satu kemestian dalam resipi masakan kerana aromanya yang begitu menyenangkan. Bunga cengkih juga turut digunakan sebagai rawatan untuk mengurangkan bengkak akibat gigitan serangga, sakit gigi selain menjadi antara ramuan untuk menghasilkan minyak wangi. Bagaimanapun, pelbagai kelebihan tumbuhan herba yang dikenali sebagai Eugenia aromatica itu hanya diwarisi secara turun temurun tanpa kajian mendalam tentang khasiat perubatannya secara saintifik. Hasil penyelidikan mendapati, bunga cengkih mengandungi beberapa sebatian yang boleh menghalang kerosakan organ dalam badan manusia yang disebabkan oleh tekanan oksida atau kandungan gula dalam darah yang tinggi.
Lada hitam (Piper nigrum) mempunyai rasa pedas yang kuat dan bertindak sebagai diuretik, menggalakkan tubuh badan berpeluh dan menyingkirkan toksin yang berbahaya daripada badan, juga membantu proses penghadaman dan pencernaan. Lada hitam yang segar dikatakan paling mujarab dan berkesan bila digunakan untuk merawat perut kembung, senak, merangsang selera makan, menghentikan pendarahan, pedih ulu hati, cirit birit, melegakan ketegangan otot, melancarkan peredaran darah dan sistem penafasan. Penanaman lada hitam di Malaysia didominasi di Negeri Sarawak dengan beberapa varieti seperti Varieti Kuching, Varieti Semenggok Emas, Semenggok Perak dan beberapa lagi. Tanaman lada hitam dikendalikan oleh Lembaga Lada Malaysia yang beribupejabat di Sarawak.
Diharap coretan diatas mampu memberikan info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology artikel ke 3,998 ini untuk samapai ke 4,000 artikel minggu ini. Wasallam!...
TANAMAN HERBA....ADA PROGRAMNYA....
EPP 1 DILANCARKAN...DENGAN MERATA...
BANYAK KHASIAT ...ADA PRODUKNYA..
HERBA TROPIKA ... HEBAT GUNANYA....
By,
M Anem
Senior Agronomist
Taman Cendana, Persimpangan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(Ditulis pada 2 Ramadan 1437H)
'SELAMAT HARI RAYA'
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(Ditulis pada 2 Ramadan 1437H)
'SELAMAT HARI RAYA'
EmoticonEmoticon