DAUN KETUM - KESAN GIAN

POKOK KETUM (Mitragyna speciosa) merupakan tumbuhan yang menghasilkan apa yang dinamakan sebagai daun ketum yang kini menjadi ancaman kepada rakyat negara ini. Kini penggunaan daun ketum dikalangan remaja dan murid sekolah menyebabkan kesan seperti dadah walau pun ada kenyataan umum menyatakan bahawa daun ketum 'tidak menggiankan'. Dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia oleh pemberita Norzaila Rosli menyatakan daun ketum atau lebih dikenali sebagai 'kratom' di kebanyakan negara adalah antara topik paling hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini. Ini berikutan dengan berita penebangan sebatang pokok ketum berusia 60 tahun di Kampung Bandariang Gerik oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak, pokok ketum mula mendapat perhatian umum. Ada yang berpendapat tindakan menebang pokok tersebut akan dapat mengurangkan aktiviti penagihan dadah. Namun begitu, tidak kurang juga yang menyuarakan kekesalan terutama daripada penggiat aktiviti pemuliharaan alam sekitar ia menghilangkan flora dan fauna biodiversiti negara. Di Malaysia penulis juga dimaklumkan dimana daun ketum turut dikenali sebagai 'Daun Biak' dimana ia telah lama digunakan dikalangan petani, pesawah dan sebagainya sebagai air yang menambah tenaga untuk bekerja. Artikel petang Ahad ini saya menulis didalam blog "Anim Agro Technology" mengenai info daun ketum sekadar ingin menambah ilmu berdasarkan kepada laporan akhbar tempatan.

Mengikut sejarah yang dilaporkan, daun ketum mula digunakan di Thailand sejak berkurun dahulu. Ia amat popular di kalangan orang biasa (bukan penagih) kerana kesan penagihannya yang minima selain dapat mengekalkan tenaga kuat sepanjang hari terutama kepada mereka yang melakukan kerja berat. Sementara itu dinegara kita dilaporkan pokok ketum sering menjadi tumpuan penagih sebagai alternatif untuk menghilangkan ketagihan sementara. Biasanya daun ketum akan direbus terlebih dahulu sebelum diminum airnya yang pahit dan hanya boleh disimpan selama dua hari sahaja. Daun ketum kini ditanam dan dijual oleh pihak tertentu untuk digunakan dalam negara dan juga dieksport kenegara jiran. Beberapa tangkapan pengedaran dan penjualan daun ketum berjaya ditumpaskan pihak berkuasa (Sila lihat foto disebelah). Ada laporan daripada pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Mahmud Mazlan berkata iaitu kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi kesan rangsangan akan hilang sekiranya rebusan itu tidak lagi segar. Daun ketum yang kering pula akan dikunyah seperti daun sirih tetapi kesannya tidak sebaik daun ketum segar.

Laporan oleh Dr. Mahmud mendapati jika pengambilan air rebusan daun ketum diminum ia boleh memberikan dua kesan yang berbeza. Pertama ia akan memberi kesan yang sama dirasai ketika mengambil morfin atau kokain. Ramai yang ambil untuk mendapatkan kesan kokain terutama orang kampung yang melakukan kerja-kerja berat. Kesan yang dirasai seperti mengambil kokain ini sebenarnya jarang diketahui oleh orang ramai.  Ianya menghasilkan dua tindak balas berbeza maka daun ketum kini telah dianggap sejenis tumbuhan yang unik kerana ia jarang dijumpai pada bahan lain. Kedua adalah kesan seperti mengambil morfin akan menyebabkan seseorang berasa mengantuk sama seperti selepas meminum arak atau ubat tidur. Kesan seperti ini hampir sama dengan mengambil kokain iaitu ianya akan menghasilkan tindak balas yang merangsangkan. Namun begitu, tindak balas yang terhasil daripada rebusan daun ketum adalah 10 kali lebih kurang daripada morfin sebenar. Ia hanya menyamai kesan yang dirasai selepas mengambil ubat batuk. Apa yang memelikkan dimana tindak balas minuman air daun ketum tersebut terhadap otak adalah berbeza dengan tindak balas morfin terhadap otak. Walau bagaimanapun, daun ketum dikatakan memberi kesan yang hampir sama dengan daun coca yang digunakan untuk membuat kokain. Minuman air ketum disediakan dalam pekk bungkusan plastik untuk dijual (Sila lihat foto disebelah). Ia ada dijual dibeberapa lokasi yang tersembunyi.

Dalam kes lain, jika hendak dibandingkan dengan daun coca asli dimana ia biasanya digunakan oleh buruh kasar di Amerika Selatan terutama yang menetap di Pergunungan Andes dan popular di Colombia. Daun coca akan dikunyah untuk menambahkan tenaga (Sila lihat daun coca disebelah)Selain kurang memberi kesan penagihan dilaporkan daun coca juga boleh mengekalkan tenaga dan menyesuaikan sistem tubuh manusia dengan kawasan beraltitud tinggi. Ini adalah diantara sebab ramai orang asli di Pergunungan Andes gemar mengunyah daun coca untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari. Berbanding dengan daun ketum yang dianggap bahan paling kompleks ini jarang dilakukan penyelidikan. Setakat ini hanya terdapat sepuluh penyelidikan bertaraf antarabangsa dibuat ke atas daun atau pokok ketum termasuk di Jepun dan Eropah. Menurut Dr. Mazlan lagi kini di Malaysia terdapat dua kumpulan berbeza yang menggunakan daun ketum. Pertama adalah kumpulan para penagih dadah menggunakan daun ketum untuk cuba mengubat diri sendiri. Sebab itu daun ketum tidak boleh dipersalahkan. Semenjak tiga tahun lalu pihak keselamatan mendapati bekalan heroin didapati semakin berkurangan dan harganya pula semakin mahal. Ini menyebabkan ramai penagih di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, utara Perak, Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan sekitar Pahang bertukar kepada daun ketum. Memandangkan daun ketum juga dapat memberikan kesan sama seperti morfin, penagih heroin mula bergantung kepada daun ketum pula. Kebanyakan golongan penagih yang ingin berhenti daripada mengambil heroin cuba merawat diri mereka dengan mengambil daun ketum.

Dilaporkan juga kesan seperti mengambil heroin daripada daun ketum hanya boleh bertahan di dalam badan mereka yang mengambilnya sehingga tiga atau empat jam sahaja. Ini menyebabkan para penagih heroin terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara kerap sehingga mereka tidak boleh tidur lebih daripada empat jam. Kesan gian tersebut sebenarnya bukanlah tindak balas daripada daun ketum tetapi disebabkan kesan pengambilan heroin sebelum itu. Keadaan ini menyebabkan penagih heroin mula bertukar kepada ketagihan daun ketum. Malangnya dilaporkan kuasa daun ketum tidaklah sehebat heroin sebenar. Golongan penagih biasanya menggunakan daun ketum dalam bilangan yang banyak iaitu 8 hingga 10 botol sehari bagi mengurangkan rasa gian kepada heroin. Bagi golongan bukan penagih pula selalunya mereka memerlukan sebanyak satu tin minuman ringan rebusan daun ketum untuk mengekalkan tenaga ketika bekerja sepanjang hari. Golongan bukan penagih tidak akan merasai kesan gian malah boleh berhenti meminum air ketum pada bila-bila masa. Pengambilan rebusan daun ketum yang berterusan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk. Pihak berkuasa akan terus membenteras penyalahgunaan daun ketum berterusan (Sila lihat foto disebelah). Ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam isu mengawal masaalah ini.

Mereka yang mengambil air daun ketum dan meminumnya dengan banyak akan mendatangkan kesan kesihatan. Memang mudah minum air ketum dengan meneguk terus dalam mulut (Sila lihat foto disebelah). laporan klinikal menyatakan antara kesan negatif minum air ketum adaalah kulit menjadi gelap, tubuh menjadi kurus kering, kurang tidur, mata merah dan menjadi panas baran. Dari segi kelakuan dan sifat didapati keadaan tersebut dilihat sama seperti yang dialami oleh penagih heroin. Pengambilan rebusan daun ketum secara kerap selama tiga bulan juga boleh mendatangkan masalah buah pinggang dan hati. Dilaporkan juga penagih juga sering berasa loya dan menghidapi gastrik yang serius. Keadaan ini jauh lebih teruk daripada menagih heroin. Didapati juga penagih heroin yang cuba menggantikan heroin dengan daun ketum akan kembali kepada heroin selepas dua atau tiga bulan kerana kesan ketagihannya semakin teruk. Bagaimana pun dilaporkan adalah belum ada pihak tertentu (Pusat Pemulihan Dadah) menerima atau merawat individu yang ketagih daun ketum. Apa yang dinyatakan adalah dimana rebusan daun ketum tidak akan memberikan kesan khayal kepada seseorang penagih. Sebaliknya dilaporkan oleh saintis pengambilannya hanya dapat mengurangkan rasa gian jauh sekali membantu penagih daripada berhenti menagih. Berbanding daun ketum didapati pengambilan heroin boleh membuatkan seseorang penagih bertahan lebih lama sebelum berasa gian semula. Daun ketum hanya boleh bertahan selama empat jam pada satu masa walaupun bahan tersebut diambil sebanyak mana. Disebabkan tindak balas yang kurang berkesan itu, maka daun ketum tidak popular sebagai dadah utama. Semuga artikel dari akhbar tempatan yang ditulis semula ini dapat beri info tambahan kepada pembaca. Wasallam!.
DAUN KETUM... DITANAM DIMANA...
TUMBUH SENDIRI...HUTAN BERADA...
AIR REBUSANNYA... GIAN JADINYA..'
BACA ARTIKEL... INFO DITERIMA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 324, TH Convention Hotel,
Kelapa Batas, Alor Setar,
Kedah, Malaysia.
(23 Syaaban 1437H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »