IMPAK R&D - ADA KESANNYA?


PENYELIDIKAN (Research) dalam bidang pertanian di Malaysia dilakukan oleh pihak kerajaan seperti MARDI, MPOB, LGM, FELDA, Universiti dan sebagainya dan juga oleh pihak swasta. Dalam bidang pertanian, pembangunan penyelidikan amat relevan dengan pembangunan sektor pertanian dalam negara semenjak sebelum merdeka lagi sehingga kini dengan pelbagai penemuan teknologi dan adaptasi kepada beberapa kategori teknologi. Ada jenis penyelidikan yang cepat dan mudah dihasilkan tetapi dalam bidang pertanian kebanyakkan teknologi akan mengambil masa amat lama seperti prorgam biakbaka tumbuhan (Plant breeding). Dalam bidang penyelidikan tanaman getah (Hevea brazilliensis) sebagai contoh, RRIM telah banyak menghasilkan klon-klon getah yang berhasil tinggi, tahan penyakit, lebih cepat untuk mengeluarkan hasil serta membolehkan pekebun mudah diperolehi baka tanaman setelah diistiharkan. Kalau dahulu ketika pekebun kecil getah cuma meanam getah klon seperti RRIM600 sahaja tetapi kini telah ada klon getah RRIM3000 yang berhasil tinggi dan menghasilkan kayu balak berkualiti. Tanaman kelapa sawit dinegara kita kini telah mencapai tahap matang apabila MPOB dapat melakukan penyelidikan baka kelapa sawit yang berhasil tinggi, tahan penyakit dan biasanya cepat mengeluarkan kasil serta mutu perahan minyak (OER) yang sangat baik. Tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) di Malaysia kini menjadi tulang belakang ekonomi negara dalam sektor pertanian dengan keluasan melebihi 4.2 juta hektar dan menjadi tanaman yang ada jaminan pasaran. Teknologi kelapa sawit dilihat stabil daripada peringkat pengeluaran diladang, teknologi lepas tuai dan juga pemprosesan produk berasaskan kelapa sawit. Peranan pihak swasta dalam pembangunan tanaman getah dan kelapa sawit tidak dapat di lupakan dimana syarikat estet swasta ini mempunyai unit penyelidikan mereka sendiri dalam membangunkan teknologi tanaman penting ini. Dalam bidang tanaman makanan, perikanan dan ternakan pula, semua saintis tahu akan perananan MOA dan MARDI serta beberapa syarikat swasta juga amat relevan yang menjalankan penyelidikan dan ada yang telah diberikan penghargaan. Dilaporkan lebih daripada 1,700 teknologi daripada MARDI dan lain-lain institusi telah dihasilkan dan digunakan semenjak tertubuhnya organisasi tersebut (Sumber: Laporan pembentangan Confrentech 2015 di Kuching). Artikel pagi ini sempena cuti Hari Pekerja 1 Mei 2015 berada di Melaka, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai impak penyelidikan pertanian dalam negara dan kesannya terhadap ekonomi pertanian.


Dalam sektor tanaman makanan, padi (Oryza sativa) merupakan tanaman penting di negara kita dilakukan penyelidikan tanpa henti semenjak Jabatan Pertanian ditubuhkan pada tahun 1905. Zaman dahulu pesawah menanam padi huma dan padi sawah yang akan masak dalam masa 5 - 6 bulan menggunakan varieti tempatan dengan hasil rendah sekitar 1 mt sehektar. Pada masa ini dengan keluasan sawah padi padi 600,000 hektar, negara telah mampu untuk menghasilkan sebanyak 70% SSL atau keperluan beras di dalam negara. Keperluan beras negara direkodkan pada tahun 2012 adalah sebanyak 700.7 mt yang mana sekitar 30% adalah diimpot daripada negara jiran. Tanaman padi merupakan tanaman yang paling banyak menerima peruntukkan untuk kajian dan juga kemudahan subsidi dari kerajaan untuk mempastikan ia masih diusahakan demi keselamatan makanan negara. Hasil penyelidikan kini tanaman padi hanya mengambil masa 110 hari sahaja untuk dituai dengan potensi hasil mencecah lebih daripada 10 mt sehektar walau pun purata hasil nassional hanya 4.3 mt sehektar sahaja masa kini. Antara varieti padi terkini yang popular ditanam pesawah adalah MR220CL-2 yang mana hampur 56% daripada pesawah diseluruh negara telah menggunakannya. Varieti lain yang popular ditanam seperti MR219, MR220, MR263 dan ada kajian juga penanaman varieti padi wangi MRQ76. Varieti padi perlu ditukar setiap 5-6 musim penanaman untuk mempastikan ia tahan penyakit dan sentiasa mengeluarkan hasil yang tinggi. Sehingga kini MARDI telah mengistiharkan lebih daripada 36 varieti padi untuk ditanam dinegara kita. Bagaimana pun ada juga teknologi padi yang masih jauh untuk dikomersilkan seperti Padi Aerob dan Padi Wangi. Ia mendapat liputan dan sambutan hebat daripada semua pihak tetapi kejayaan teknologi ini masih belum dapat dibanggakan lagi. 


Impak penyelidikan terhadap tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran bagaimana pun dinegara kita masih agak kurang hebat berbanding dengan tanaman industri seperti getah, kelapa sawit dan padi. Dalam penyelidikan buah-buahan, didapati amat sedikit varieti-varieti baru buah-buahan yang dihasilkan untuk dikomersilkan. Penghasilan baka juga kurang untuk tujuab bahan mentah bagi tujuan pemprosesan. Kebanyakan buah-buahan cepat berbuah seperti Tembikai (Citrullus lunatus) masih bergantung kepada benih hibrid import dari luar negara kerana kualiti benihnya. Apa yang penyelidikan lakukan dalam teknologi buah-buahan banyak kepada pengurusan tanaman, teknologi lepas tuai, sistem pengairan dan pengurusan pemasaran. Amat kurang penyelidikan biak baka tanaman buah-buahan yang hasilnya dapat dibanggakan. Dahulu kita dengar hebatnya varieti betik (Carica papaya) seperti Eksotika I dan Eksotika II tetapi sehingga kini didapati ia juga telah amat kurang ditanam dan dieksport. Adakah perkara ini disebabkan teknologi tersebut masih belum matang lagi atau disebabkan oleh kemasukan penyakit seperti PSRV dan Papaya Dieback?. Walau nangka (Artocarpus heterophyllus) kini telah menjadi sasaran untuk pasaran eksport ke China, belum banyak hasil penyelidikan dilakukan terhadap tanaman ini. Nangka Tekam Yellow (J33) yang dipromosi untuk dieksport ke China masih menghadapi masaalah karat nangka dan teknologi pengeksportan 'whole fruit' ke China masih dalam perundingan. Ini belum lagi nangka Mastura (J37) yang dihasilkan oleh USM yang tidak luas diusahakan sehingga kepasaran eksport. Penulis berpendapat kajian dan penyelidikan tanaman buah-buahan perlu banyak kepada mencari baka-baka baru buah-buahan untuk kegunaan segar dan dibanyakkan lagi untuk bahan pemprosesan. Tumpuan banyak diberikan kepada varieti kegunaan segar sahaja dan kurang permintaan dan kajian untuk keperluan bahan asas pemprosesan.


Tanaman Sayuran dan kontan juga masih kurang hasil kajian untuk menghasilkan varieti baru. Kebanyakan tanaman sayuran jenis daun dinegara kita masih menggunakan benih yang diimport (biji benih hibrid). Ada juga benih bukan bukan hibrid masih dibawa masuk dari luar negara. Hampir 98% benih sayuran daun jenis hibrid kini diimport dengan kos yang semakin meningkat saban tahun. Ini tidak termasuk benih jagung manis (Zea mays) atau sweet corn hibrid yang mana benihnya 100% diimport. Kejayaan dari hasil penyelidikan dalam biakbaka sayuran dan tanaman jangkapendek memang masih jauh selama ini. Bagaimana pun kejayaan dalam pembangunan sistem tanaman dan amalan agronomi sayuran dan buah-buahan memang ada impaknya. Kini penggunaan teknologi rumah pelindung hujan (SPH) dan sistem tanaman fertigasi lebih popular digunakan terutama untuk tanaman bernilai tinggi. Walau pun kos awal pembangunan agak tinggi tetapi pulangan daripasa teknologi ini amat meyakinkan. Kalau anda ke Tanah Tinggi Cameroon Highland, terlalu banyak rumah struktur pelindung hujan dibina yang mana ia tidak kelihatan 30 tahun dahulu. Teknologi Pertanian Vertikal (VERTICAL TECHNOLOGY)  ini menjamin bekalan sayuran mencukupi malahan sehingga kepada pasaran eksport. Penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal juga memang boleh menjejaskan kualiti sayuran dengan kandungan MRL residu racun yang membahayakan. Kini dengan teknologi fertigasi dan rumah SPH ia mampu dikurangkan dan selamat dimakan. Tanaman tomato (Lycopersicum esculentum) dahulu ditanam diatas batas dikawasan terbuka hanya mempu menghasilkan diantara 20 -30 mt sahaja buah tomato dalam masa 3 bulan penanaman sahaja. Kini dengan teknologi fertigasi dibawah SPH didapati tanaman tomato mampu menghasilkan sebanyak 300 - 400 mt buah tomato segar dalam masa 8 - 10 bulan jangkamasanya. 


Teknologi Nutrient Film Technique (NFT) untuk tanaman bernilai tinggi seperti salad, lettuce dan sebagainya telah dikomersilkan (Sila lihat foto sebelah). Walau pun teknologi ini banyak dimport dan diadaptasi dari luar negara, kajian diperingkat tempatan perlu diteruskan untuk menjadikan ia satu teknologi yang harga pembangunan awalnya lebih munasabah dan hasil yang amat lumayan. Lawatan penulis diladang swasta menanam salad menggunakan teknologi NFT ini amat kagum bagaimana sistem penanaman ini mampu untuk menghasilkan sayuran salad untuk dibekalkan kepada rangkaian KFC, McDonald dan semua restoren makanan segera diseluruh negara dengan jamninan kualiti dan penghantaran menepati masa (Sila lihat foto disebelah). Teknologi NFT untuk kawasan tanah rendah perlu dibuat penyelidikkan juga dengan kaedah dan tanaman yang sesuai. Ini merupakan teknologi yang mungkin akan digunakan dimasa akan datang dengan keluasan tanah sedikit tetapi mampu mengeluarkan hasil tanaman lebih banyak dan selamat dimakan. Banyak lagi teknologi sayuran dan buah-buahan perlu diselongkar untuk menjamin bahawa pengeluaran makanan dalam negara sentiasa mencukupi, selamat dimakan dan berkualiti. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.


PENYELIDIKAN... LAMA MASANYA...
PALING SUKAR...UNTUK BIAKBAKA....
VARIETI BARU... IA KENA DICIPTA...
PETANI MAJU.. RAKYAT BAHAGIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(13 Rejab 1436H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »