TEKNOLOGI 'TUBEPLOT'



TEKNOLOGI TUBEPLOT merupakan satu pendekatan baru dalam sistem penanaman masa akan datang terutama untuk aktiviti pertanian bandar. Penulis mendengar teknologi ini semasa menghadiri Confrentech 2015 di Kuching, Sarawak baru-baru ini dan seterusnya membuat carian dilamanweb. Pertanian Bandar merupakan satu pendekatan baru dalam dunia pertanian dimana ia membolehkan kawasan yang semmpit dan kecil dikawasan urban mampu mengeluarkan bahan makanan. Pelbagai 'vertical technology' telah pun diperkenalkan termasuk Teknologi Hidroponik, NFT, Fertigasi, GreenKit dan sebagainya. Pada asasnya Teknologi 'Tube Plot' boleh ditempatkan dikawasan yang terhad. Ia juga sesuai diletakkan di halaman rumah teres, banglo atau rumah pangsa (Sila lihat foto diatas dan dibawah). Setiap aras boleh dilaraskan ketinggian berdasarkan jenis-jenis tanaman yang mahu ditanam. Teknologi ini mampu untuk menghasilkan bahan makan terutamanya jenis sayuran daun yang segar, bersih dan selamat dimakan. Ia mudah dipasang dan diselenggara dengan kos yang mampu dibayar oleh mereka yang minat menggunakannya. Artikel subuh ini saya sempat menulis dalam "Anim Agro Technology" satu lagi teknologi baru yang sesuai dirujuk pembaca untuk menambah ilmu dan sebaiknya mempraktiknya sendiri.



Penulis mendapati teknologi ini melibatkan tanaman yang disyorkan untuk sistem ini adalah jenis yang terdiri daripada tumbuhan jenis berdaun seperti sayuran, ulam dan juga jenis herba. Pemilihan jenis tanaman ini perlu disesuaikan dengan kehendak dan sistem pertumbuhan sama ada jenis menegak, menjalar atau merayap. Pelbagai tanaman boleh yang hendak ditanam bergantung kepada minat dan keperluan pengguna bagi setiap tingkat atau pada tingkat yang sama. Kadar pengeluaran yang tinggi bagi setiap tingkat juga bergantung kepada pengurusan. Lazimnya setiap tingkat boleh menghasilkan sehingga 40 pokok dan TubePlot boleh menghasilkan 200 pokok pada 1 meter persegi dengan 5 aras ketinggian. Jika ada yang mempunyai ruang dan modal mencukupi kemungkinan ia boleh membuat sistem Tubeplot ini sebagai pusat pengeluaran sayuran dikawasan bandar dengan komersil. Ia boleh disusun dikawasan penanaman dengan baik dan penuaian dilakukan secara berperingkat (Sila lihat foto dibawah).


LAPORAN AKHBAR:
Inovasi pertanian bandar

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my




Putrajaya, 12 Ogos - Ia membabitkan gabu­ngan kepakaran penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), antaranya Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik dan Pusat Penyelidikan Hortikultur.  Prototaip yang diba­ngunkan diaplikasikan dengan beberapa jenis tanaman bernilai tinggi terutama salad.  Strukturnya yang bertingkat mampu menghasilkan pelbagai jenis sayuran berdaun, ulaman dan herba.  Menggunakan sumber baja yang mesra alam, pekebun boleh menghasilkan sayuran organik.  Jika setahun lalu prototaipnya agak ringkas, inovasi pertanian bandar dibangunkan itu kini lengkap sepenuhnya. Projek itu cetusan idea Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Muhd Akhtar Mohamad Tahir.

Teknologi pertanian bandar itu dikenali ‘Tropical Urban Environment’ atau TUBE plot. Bentuknya yang ring­kas menjadikan ia amat praktikal dan menjimatkan ruang dengan struktur dibina menegak untuk aktiviti pertanian bandar. Pertanian menegak digunapakai di kawasan bandar besar yang mempunyai ruang bertani sempit dan padat. Pokok ditanam meng­gunakan kaedah silang atau jujuran bagi mendapatkan hasil yang tinggi. Bahan struktur ini diperbuat daripada besi tahan karat yang mudah dipasang dan ringan, manakala material takungan daripada bahan plastik Polypropylene (PP).  Selaku penjana inovasi, Muhd Akhtar mempunyai jawapan kepada penciptaan TUBE plot. Beliau berkata, lang­kah menghasilkan tek­nologi TUBE plot bagi melahirkan modal insan yang celik pertanian. “Salah satu sasaran penggunaan TUBE plot adalah untuk tujuan pendidikan. “Selalunya agak sukar bagi ‘budak bandar’ untuk mempelajari bidang pertanian kerana kekurangan tempat sesuai,” katanya.

Menariknya TUBE plot katanya, ia adalah terjemahan konsep penanaman di kawasan bandar. Pendekatan penggunaan TUBE plot dikhususkan untuk kawasan perumahan bertingkat tinggi. Struktur TUBE plot direka bentuk setinggi lima tingkat (maksimum) dan tiga tingkat (minimum). Setiap tingkat menghasilkan 40 pokok jenis berdaun. “Biasanya tumbuhan yang ditanam adalah jenis biasa dimakan di rumah seperti salad yang memberi nilai tambah kepada pemilik,” katanya. Antara beberapa kaedah penanaman tanpa tanah ialah konsep fertigasi melalui sistem pengairan titis dan hidroponik. Kelebihan TUBE plot katanya, ia boleh menggunakan dua kaedah itu dalam satu sistem. TUBE plot juga mempunyai perlindungan tanaman dengan kaedah pemasangan jaring kalis serangga. “Ia sesuai untuk individu yang enggan menggunakan racun serangga pada tanaman mereka dan jaring praktikal digunakan terutama komuniti bandar,” katanya.


TUBE plot dibina dengan ketinggian dua meter, manakala bekas tanaman pula berkeluasan satu meter. “Teknologi ini mudah, boleh dipindah dan diselenggara. “Lebih penting pemiliknya tidak memerlukan ruang besar sebaliknya cukup sekadar ruang sempit untuk menghasilkan pengeluaran tinggi,” katanya. Selain itu, kelebihan teknologinya membolehkan ia diberikan istilah ‘multi crop’ atau pelbagai tanaman. “Setiap tingkat boleh ditanam dengan pelbagai sayuran berdaun berbeza, antaranya jenis berdaun, tempoh matang singkat dan berakar pendek.“Sayuran dicadangkan ialah salad, kailan, pak choi, sawi, kangkung, bayam, daun sup dan daun bawang.  “Kategori ulam seperti pegaga, ulam raja, cekur, kaduk, daun kesum dan herba ialah selasih dan pudina,” katanya. Katanya, kertas cada­ngan mengambil tempoh setahun sebelum terhasil prototaip TUBE plot.

Inovasi berkenaan seterusnya diiktiraf pada peringkat dalaman MARDI apabila memenangi pingat perak dalam Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE) pada 2013. Reka bentuk yang dihasilkan berkonsep pertanian bandar itu kemudian dikemas kini dan menempa satu lagi kejayaan dengan merangkul emas. Ia turut membantu MARDI mendapat gangsa yang mengetengahkan konsep pertanian bandar sempena Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014. TUBE plot juga reka bentuk pertama dibangunkan di negara ini dan ia dalam proses mendapatkan paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). MARDI juga meng­aplikasikan dua jenis TUBE plot iaitu membabitkan unit ‘individu’ dan modular. Jenis individu adalah menerusi pemasangan pam tangki di bawah unit manakala jenis modular adalah gabungan beberapa unit TUBE plot,” katanya. Menurut kajian, pada 2020, dianggarkan 40 hing­ga 45 peratus penduduk bandar utama di Malaysia dikategorikan miskin bandar. Oleh itu, inisiatif teknologi yang diusahakan ini dapat membantu mengimbangi keperluan perbelanjaan harian mereka terutama pada makanan. Diharap artikel ini dapat memberi info berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology' diluar sana. Wasallam!.

Teknologi Pertanian Bandar akan datang.
TEKNOLOGI BARU... CANGGIHNYA...
IA PRODUKTIF... CARA BAGAIMANA...
HASIL TINGGI... MAHAL HARGANYA...
PERLU DICUBA....TERUS BERUSAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1016, Hatel Riverside Majestic,
Jalan Tunku Abdul Rahman,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(19 JamadilAkhir 1436H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »