MEMETIK BUAH KELAPA (Cocos nucifera) merupakan satu aktiviti yang memerlukan kemahiran dan lazimnya tidak menggunakan peralatan khusus. Pokok kelapa yang telah berumur dari jenis kelapa tinggi akan sukar untuk petani memetiknya kecuali petani hanya menunggu buah yang gugur dari pokok apabila cukup tua tetapi ia tidak sesuai untuk penanaman kelapa secara komersil. Negara kita mempunyai keluasan kelapa sebanyak 96,700 hektar pada tahun 2014 dengan anggaran jumlah penghasilan buah kelapa sebanyak 580 juta biji (Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Tanaman kelapa luas di negeri Johor (Batu Pahat, Pontian dan Muar), Selangor (Kuala Selangor dan Sabak Bernam), Perak (Bagan Datoh dan Hutan Melintang), Sabah (Kawasan Daerah Kudat) dan Sarawak (Kawasan Asajaya). Pada masa ini teknik menuai kelapa paling popular adalah dengan menggunakan Galah Panjang (Galah buloh atau Aluminium) atau pun dengan cara menggunakan Beruk Petik Kelapa. Kini upah untuk memetik buah kelapa semakin tinggi kerana jumlah pokok kelapa Malayan Tall dan varieti tinggi lain dengan taburan pokok tersebut sebanyak 70% daripada semua jenis pokok kelapa dewasa telah mencecah purata ketinggian melebihi 60 - 100 kaki. Penggunaan galah memerlukan galah yang panjang dan kepakaran khas pekerja untuk mengait tandan kelapa matang yang tinggi. Penggunaan haiwan beruk pula amat terhad keupayaannya jika untuk kawasan kebun yang luas. Penulis sering melihat bagaimana dalam lamanweb youtube terutama dari India dan Sri Lanka mempaparkan beberapa peralatan memanjat dan memetik buah kelapa (sebagai prototype) atau telah dikomersilkan. Artikel malam ini saya terus menulis dengan dua jari sahaja dalam "Anim Agro Technology" artikel ke 3,135 mengenai inovasi alat memetik buah kelapa sekadar dijadikan bahan bacaan dan memang ada dijual dipasaran.
Telah banyak inovasi ditampilkan untuk memetik buah kelapa. Terdapat alat yang agak ringkas namun impaknya cukup besar kepada industri kelapa. Jika dulu khidmat beruk diperlukan untuk memanjat pokok kelapa tetapi kini ia dapat dilakukan manusia. Dikenali alat sebagai alat pemanjat pokok, kini ada satu produk inovasi itu ciptaan (adaptasi) kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat yang telah diketengahkan. Apa yang menarik ialah kerana ia hanya mengambil masa 30 saat untuk sampai kepada tahap ketinggian enam meter. Malah, pengguna akan mampu duduk dalam tempoh lama sebelum beliau dapat meneruskan aktiviti memetik kelapa. Alat itu pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang mana saya sempat melihatnya tetapi tiada demo dibuat. Pengurus Hal Ehwal Korporat PPK Kuala Langat, Zulkamal Zaiki berkata, inovasi dari Jepun itu hanya ada ditayangkan menerusi laman web YouTube. Menurutnya, pada masa ini isu kekurangan tenaga pengajar beruk yang terlatih menyumbang kepada usaha memodifikasi alat berkenaan. Dengan alat ini orang yang sudah lama menceburi bidang berkenaan (memanjat pokok kelapa) boleh menjana pendapatan berganda. Seramai empat pegawai terbabit dalam inovasi itu untuk tempoh sebulan dan siap sepenuhnya pada Ogos lalu.
Kerja memetik buah kelapa memerlukan tenaga kerja dan peralatan khas jika kawasan kebun adalah luas. Cara memetik buah kelapa dengan kaedah panjat pokok pernah dilakukan oleh pekerja estet dan pemilik kebun kelapa terutama untuk memetik kelapa muda. Berapa pokok seorang pekerja mampu panjat pokok kelapa dalam sehari? (Sila lihat foto disebelah). Jika pokok kelapa mencecah lebih 50 kaki memang pekerja tidak boleh cari makan kalau upah satu biji kelapa dijatuhkan cuma 25 sen sebiji. Teknik memanjat kelapa untuk memetik buah kelapa telah lama ditinggalkan. Mereka panjat kelapa untuk menyadap mayang bagi tujuan mendapatkan nira untuk pelbagai tujuan seperti jadi nira dan gula melaka. Sebaiknya pokok kelapa yang tua, tinggi dan tidak produktif perlu ditebang dan ditanam dengan kelapa varieti baru jenis hibrid yang potensi hasilnya tinggi seperti kelapa MATAG, Kelapa MAWA atau varieti lain. Permintaan kelapa di Malaysia dan seluruh dunia akan meningkat sedangkan pengeluaran berkurangan kerana banyak tanaman kelapa telah ditebang dan digantikan dengan kelapa sawit dan tanaman lain. Pada masa ini penggunaan perkapita kelapa di Malaysia adalah sebanyak 18 biji seorang setahun.
Alat diguna di India |
Semasa penulis melawat inovasi tersebut, diberitahu bahawa pada keadaan biasanya hanya tiga pokok dapat dipanjat setiap hari, tapi alat ini membantu memanjat 20 pokok sehari. Alat itu membabitkan dua bahagian utama iaitu bahagian A (tempat duduk) dan bahagian B (pedal). Pertamanya, wayar dipasang mengikut saiz pokok untuk kedua-dua bahagian tempat duduk dan pedal. Gelang getah kemudian disangkutkan pada bahagian pin. Bahagian depan kaki di bawah penahan disangkutkan dan naik di atas pedal. Seterusnya, pemanjat perlu berdiri di atas pedal dan naikkan tempat duduk, selain menyesuaikan panjang tali yang menyambungkan kedua-dua bahagian mengikut kaki ketika berdiri. Sangkutkan tali keselamatan yang terikat di tempat duduk dan gelungkan 'lifeline' dipinggang dan diikat. Gelungkan hujung tali 'lifeline' keliling pokok di atas wayar tempat duduk dengan cara menyangkutkan hujung besi 'lifeline' pada bahagian tali. Mereka yang berminat mendapatkan alat berkenaan boleh berhubung terus PPK Kuala Langat. Semuga artikel ringkas ini memberi info tambahan kepada pembaca semua. Wasallam!.
Tulisan asal dari Harian METRO
EmoticonEmoticon