ANGGUR - SESUAIKAH DI MALAYSIA?

PENANAMAN ANGGUR (Vitis spp) di Malaysia merupakan satu perkara yang lama diidam-idamkan oleh ramai petani dan usahawan di negara kita. Ini kerana tanaman anggur di Thailand dan Indonesia telah mencapai tahap lebih maju berbanding dengan di Malaysia. Semasa melawat ladang Anggur di Thailand, mereka menggunakan teknologi yang dikatakan diadaptasi dari Israel yang mampu menghasilkan varieti sesuai dengan iklim lembab panas tropika di Thailand. Kalau mengikut sejarah, usaha untuk menanam anggur di Malaysia telah bermula sekitar awal tahun 1980'an dimana masa itu saya pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (Kini Universiti Putra Malaysia). Bagaimana pun akhirnya pada masa ini tumpuan hanya diberikan di Negeri Perlis sahaja kerana ia mempunyai cuaca panas dan kering yang agak panjang untuk 'induce' pokok anggur berbunga dan berbuah. Perkara ini sama dengan usaha galakan penanaman pokok mangga Harumanis (MA128) yang juga sesuai di negeri Perlis. Kini hanya Perlis sahaja yang menjadikan tanaman anggur sebagai ikon buah kebanggaan mereka. Beberapa usahawan telah berusaha menanam anggur tanah rendah seperti di Jeram (Selangor), Sendayan (Negeri Sembilan), Sik (Kedah), Setiawan (Perak) serta di Johor tetapi hasilnya masih kurang berjaya akibat masaalah pengurusan tanaman dan produktiviti serta masaalah penyakit serta perosak anggur. Penanaman anggur dikawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland, Lojing dan Kundasang bagaimana pun masih dilakukan dengan skala kecil-kecilan. Penjual benih anggur merupakan kalangan yang dikira berjaya dalam industri ini kerana mereka menjual benih anakbenih anggur (sehingga RM 20 - RM25 sepokok dalam polibeg) kepada usahawan dan petani yang menanam secara hobi atau separa komersil. Terdapat ramai juga penanam anggur hobi lebih berjaya menanam anggur dikawasan keliling rumah atau secara kecil-kecilan tetapi ushawan komersil agak kurang berjaya kerana isu pengurusan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai industri penanaman buah anggur di Malaysia berdasarkan kepada pemerhatian dan lawatan kebeberapa lokasi menanam anggur oleh penulis sendiri. 


Pemerhatian penulis mendapati bahawa tanaman buah anggur yang popular hanya dibeberapa negara terutama kawasan bersuhu sederhana (Temperate cimate). Anggur Eropah (Vitis vinifera) merupakan jenis angur paling banyak ditanam secara komersil untuk kegunaan segar dan ekspot. Anggur jenis ini dipercayai berasal atau natif dari kawasan Laut Caspian sehingga Kawasan Laut Hitam. Anggur Eropah merupakan kultivar anggur paling banyak ditanam secara komersil untuk dimakan segar, dibuat wain atau dikeringkan menjadi kismis. Beberapa jenis tanaman anggur spesis lain adalah seperti Vitis labrusca, Vitis aestivalis, Vitis vulpina, Vitis rupestris, Vitis riparia dan Vitis berlandieri. Pokok anggur mempunyai ciri batang yang menjalar (vine) dan mampu memanjang sehingga sukar untuk diukur. Anggur jenis ini amat sesuai hidup dikawasan yang beriklim panas sejuk dikawasan temperate dan subtropik dengan suhu sesuai. Jika suhu jatuh dibawah -20 celcius (suhu beku), pokok anggur akan menjadi 'dormant' walau tidak mati sementara jika suhu pada paras -1 celcius, ianya sesuai untuk menghasilkan pucuk baru. Kajian oleh saintis barat ada menunjukkan jika suhu sekitar -0.5 celsius sangat baik untuk mengeluarkan bunga dan seterusnya pengeluaran buah anggur. 



Di Malaysia merujuk kepada Risalah InfoTANI Jabatan Pertanian iaitu 'Panduan Menanam Anggur" yang diterbitkan pada 2009 ada menyatakan bahawa penanaman anggur Jenis IAC mampu memberikan hasil diantara 8 - 11 kg sepokok semusim dengan hasil potensi sebanyak 22 kg sepokok semusim (sila lihat foto disebelah). Risalah tersebut juga yang saya rujuk menyatakan kos pembangunan sehektar anggur Jenis IAC sebanyak RM182,000 sehektar (kebanyakan adalah kos untuk penyediaan infrastruktur - para, dawai, struktur lain dan benih) dengan jangkamasa penanaman selama 10 tahun. Jika satu hektar mampu memberikan hasil sebanyak 89 kg sehekktar dan dijual dengan harga ladang antara RM 6.00 - RM8.00 sekilogram, anggaran pendapatan kasar setahun dianggarkan sebanyak RM534,000 - RM712,000 sehektar. Melihat kepada angka-angka tersebut memang amat suka untuk kita membacanya. Tetapi kenapa sehingga 30 tahun ia masih kurang berjaya dan mungkin kurang kajian dilakukan seperti dinegara jiran. (iaitu dari1980 - 2014). Dilaporkan sehingga kini belum ada ladang anggur komersil yang berjaya kekal di negara kita. (Kalau ada ladang anggur yang berjaya pun mungkin penulis tidak mendapat informasi sebenar). Apabila dirujuk kepada lapuran statistik tanaman Jabatan Pertanian, ia hanya merekodkan seluas sekitar 10-12 hektar CHE sahaja yang dilaporkan. Beberapa usahawan dan syarikat komersil dilaporkan telah mengambil pakar dan pekerja dari Thailand untuk menguruskan ladang anggur mereka tetapi ianya masih kurang berjaya untuk kekal sehingga melebihi 10 tahun. Pertumbuhan pokok anggur diperingkat awal penanaman (vegetative stage) selalunya memang amat memberangsangkan tetapi ketika peringkat matang dan berbuah (reproductive stage) pokok anggur di Malaysia mudah diserang penyakit dan perosak lain. Antara penyakit tersebut adalah Kulapok Downy (Downy Mildew), Antraknos dan juga Karat Daun. Kerja untuk membuang keseluruhan daun untuk kawasan luas juga amat merumitkan dan melibatkan kos serta masa yang banyak.



Minat orang Malaysia untuk terus menanam anggur masih tetap utuh. Jabatan Pertanian Perlis dan petani di Perlis masih merupakan kumpulan yang terus komited dengan usaha tanaman anggur dan juga beberapa petani di Cameroon Highland. Bagaimana pun masih ramai petani hobi yang masih ingin menanam anggur di kawasan rumah sama ada didalam pasu atau dipagar rumah atau pun dibuat rumah pelindung khas. Mereka akan membeli benih sendiri daripada varieti yang disyorkan sesuai untuk ditanam di Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Risalah InfoTani Jabatan Pertanian iaitu Varieti IAC, Black Opal, Black Queen dan New White Malagga. Jabatan Pertanian telah membuat petak pemerhatian pada tahun 1987 untuk melihat prestasi tanaman beberapa jenis anggur di Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun ada dilaporkan bahawa antara masaalah dalam penanaman anggur di Malaysia adalah seperti faktur hujan dan ribut petir yang berlebihan yang mana ia merosakkan tanaman dan ia memerlukan penahan air hujan. Seterusnya adalah faktur tanah subur tetapi terlampau lembab (High humidity) menyebabkan kes serangan fungus dan juga serangan oleh serangga perosak. Seterusnya adalah faktur serangan beberapa penyakit seperti Antraknos, Karat Daun dan Kulapuk Downy. Bagaimana pun ada juga amalan sistem tanaman yang silap menyebabkan tanaman anggur kurang berjaya. Daripada aktiviti permerhatian tersebut barulah infoTani diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada semua. Kalau teringin hendak makan buah anggur, beli sahaja di Supermarket atau Pasar Malam iaitu anggur yang diimpot dari luar negara yang manis, murah dan berkualiti. Adakah industri tanaman anggur secara komersil seperti tanaman sayuran daun akan berjaya di Malaysia?. Kita tunggu hasil penyelidikan dimasa akan datang oleh pihak tertentu.  Wasallam!.


MENANAM ANGGUR..DI MALAYSIA...
SUDAH LAMA...KAJIAN DICUBA..
MASIH LEMAH... ISUNYA KENAPA....
ADAKAH MEMANG...BOLEH DILUPA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Persimpangan Air Keroh,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(6 Safar 1436H) 

Artikel Terkait

Previous
Next Post »