JAGUNG BIJIRIN (Grain corn) adalah merujuk kepada jenis jagung yang ditanam untuk diproses menjadi makanan seperti minyak jagung, tepung dan juga untuk makanan ternakan haiwan. Lazimnya jagung bijirin adalah untuk kegunaan makanan ternakan haiwan seperti lembu, ayam dan sebagainya. Di negara kita Malaysia penanaman jagung bijirin tidak mendapat perhatian oleh penanam jagung yang disebabkan keuntungan dan ruang pemasaran yang sangat kecil. Dari kajian penulis bersama pegawai dari Pusat Pertanian Jabatan Pertanian di Perak mendapati beberapa pemerhatian penanaman jagung bijirin telah pun dilakukan semenjak berbelas tahun dahulu. Berdasarkan kepada kajian MARDI juga pada awal 1980 ada di beberapa lokasi telah dipilih untuk menjalankan kajian potensi tanaman jagung bijirin seperti di Jenderata Estate (Perak), di Permatang Pauh (P. Pinang), di SADC Perak dan Kg Pauh, Perak. Hasil kajian mennunjukkan dimana kos pengeluaran jagung bijirin adalah serendah RM0.36/kg hingga kepada RM1.76/kg dimana jumlah pengeluaran bijirin jagung adalah tinggi sebanyak 4.0 metrik tan/ha (Jenderata Estate) dan serendah 1.1 metrik tan/ha (Ka Pauh) dengan purata kos pengeluaran sehektar bagi jagung bijirin adalah sebanyak RM1,000/ha. Beberapa kajian perbandingan telah juga ada dilakukan oleh kumpulan penyelidik tentang potensi tanaman jagung makanan haiwan. Bahan ini telah menyebabkan kos pengimportan produk asas pertanian tertinggi dinegara kita melibatkan jumlah nilai import melebihi RM400 billion setahun. Artikel kali ini penulis membentangkan didalam "Anim Agro Technolgy" temuan kajian yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Pertanian terhadap sejenis jagung bijirin iaitu SUWAN 3 dan kosting serta analisa ekonomik sekadar dijadikan panduan kepada semua pembaca blog ini. Kajian ini dijalankan pada tahun 2009 dan kertas teknikal dibentangkan pada tahun 2010.
Hasil kajian mendapati prestasi hasil adalah yang diperolehi ialah 4,790kg/ha tongkol dan 2,448kg/ha (bijirin). Jika dilihat dari segi prestasi kepadatan tanaman hanya mencapai 50.13% (berdasarkan kepada pungutan tongkol) manakala prestasi hasil tongkol pula pada 62.67% (pada 80% hasil potensi). Ini dapat dijelaskan kerana pada masa pokok berumur 56 HLT hari ia telah tumbang kerana di landa ribut menyebabkan prestasi tanaman telah menurun. Satu lagi pemerhatian teknologi bagi menilai kos dan pengeluaran jagung bijirin telah diadakan di Stesen Pembangunan Komoditi Lekir bagi menilai keuntungan dalam mengeluarkan jagung bijirin. Jadual 2 dibawah dipaparkan analisa prestasi tanaman Jagung Suwon dengan lebih jelas akan hasil kajian yang dijalankan. Sebagai perbandingan, beberapa hasil dari tinjauan ke atas program yang telah dilaksanakan oleh Negara di Lao PDR yang berjaya menggunakan kaedah berkelompok untuk menjadikan pengeluaran jagung bijirin sebagai satu aktiviti yang menjana pendapatan penduduk tempatan untuk kajian seterusnya.
Kajian ini bertujuan untuk menjalankan pemerhatian untuk melihat Kos dan Pengeluaran Tanaman Jagung Bijirin menggunakan Varieti Suwan 3 bagi tujuan menilai daya saing pengeluarannya sebagai jagung bijirin. Ia juga ingin melihat sama ada pengeluaran jagung bijirin ini berpotensi untuk diusahakan di negara kita sekiranya kita dapat mengatasi masalah-masalah yang sering diperkatakan dalam pengeluaran jagung bijirin. Kebanyakan petani lebih berminat untuk menanam jagung manis (sweet corn) kerana ia mengambil masa lebih singkat, pendapatan yang menguntungkan dan kurang risiko serta pasaran yang terjamin dan harga stabil. Dalam pengeluaran jagung bijirin, jumlah pengeluaran sehektar perlu ditingkatkan kepada minima 4 metrik tan sehektar bagi penilaian eonomik. Hanya dengan kaedah peningkatkan hasil bijirin melalui penggunaan varieti baru sahaja yang boleh memberikan pengeluaran yang tinggi. Di Malaysia belum ada varieti jagung bijirin yang disyorkan untuk ditanam walau pun banyak kajian telah dilakukan. Varieti jagung bijirin ini mesti mampu mengurangkan kos pengeluaran dengan cara menggunakan teknologi moden dalam pengeluaran jagung bijirin. Dari segi polisi pula sebaiknya kerajaan memberikan kuota sekitar 10% pasaran jagung bijirin yang diperlukan oleh industri makanan ternakan kepada petani tempatan dalam pelbagai bentuk dan insentif untuk mengurangkan kebergantungan jumlah import jagung bijirin. Sebagi contoh dikatakan pengalaman negara Lao DPR telah berjaya untuk membangunkan industri jagung untuk makanan ternakan menggunakan kelompok petani boleh diikuti dengan mengambilkira faktor di atas. Penulis pernah melawat Lao PDR pada tahun 2009 dan 2011 tetapi berkait dengan tugas rasmi mengajar peserta kursus antarabangsa..
Kawasan pemerhatian tanaman jagung bijirin ini dijalankan di Petak A, Stesen Pembangunan Komoditi Lekir, Perak seluas 0.13 hektar. Kawasan tanah telah dibajak menggunakan bajak piring (pertama) telah dibuat dan pengaporan telah dilakukan 7 hari selepas itu. Rotovator telah dilaksanakan selepas 7 hari pengaporan dan kawasan diberikan baja organan (tahi ayam) dua hari sebelum aktiviti penanaman. Pemasangan sistem pengairan sprinkler dibuat pada 4 April dan penanaman telah dilakukan pada 6 April 2009. Pokok jagung mula bercambah selepas 4 hari ditanam diladang. Penjarangan telah dibuat semasa pokok berumur 14 hari. Pembajaan dilaksanakan sekali sahaja menggunakan NPK 12:12:17:2 pada umur 35 hari. Pengawalan awal rumpai dilkawasan kebun dilaksanakan dengan jenis racun jenis pra-cambah menggunakan Atrazine pada kadar 2 liter/ha dan selepas itu pada pokok berumur 45 hari. Kawalan perosak dan penyakit tidak dilaksanakan kerana tiada kes serangan serangga dan penyakit semasa penanaman. Kerja untuk pengutipan hasil jagung bijirin bermula daripada peringkat berbunga dan pada umur 45 HLT dan matang pada 70 HLT. Untuk jagung bijirin, ia dibiarkan pada pokok sehingga 100 HLT bagi mengurangkan kandungan kelembapan kernel dimana ia akan mengurangkan kos pengeringan di loji benih jagung. Tongkol jagung bijirin matang telah dikutip pada 16 Julai 2009 menggunakan tenaga buruh secara manual dengan memetik hanya tongkol tanpa kulit. Ia dimasukkan ke dalam guni dan dihantar ke Logi Pemprosesan Jagung di Pusat Pembangunan Komoditi (PPK) Titi Gantong untuk proses pengeringan, peleraian dan timbangan. Hasil kernel ini akan direkodkan untuk analisa kewangan projek dan kernel disimpan sebagai sumber benih Suwan 3. Segala aktiviti diladang direkodkan berdasarkan jadual kerja yang telah dirancang. Data asas ringkasan mengenai kos pengeluaran dan pulangan atas kos jagung Suwan seperti dalam Jadual 1 dibawah.
Sebagai meringkaskan hasil kajian, dalam 'abstract' penulis asal menyatakan bahawa jagung Bijirin adalah untuk kegunaan makanan ternakan haiwan dan di Malaysia dimana penanamannya tidak mendapat perhatian kerana margin keuntungan kecil dan kos pengeluaran tinggi berbanding jika diimpot. Pemerhatian di Pusat Pertanian Lekir menunjukkan prestasi hasil adalah sebanyak 4,790 kg/hektar (tongkol) dan 2,448kg/hektar (bijirin). Kos pengeluaran pula ialah jumlah keseluruhan kos dan bermula dari persediaan kawasan hinggalah kepada hasil siap diproses ialah sebanyak RM0.80/kg tongkol dan RM1.57/kg bijirin. Kos Tenaga Keluarga (tanpa mengambilkira kos buruh) sekiranya perusahaan ini dilaksanakan oleh peserta kelompok iaitu sebanyak RM0.45/kg tongkol dan RM0.88/kg bijirin. Walaubagaimanapun penekanan perlu diberikan kepada penggunaan benih arau varieti terkini dalam industri pengeluaran jagung bijirin bagi mempertingkatkan jumlah hasil bagi mengurangkan tekanan kos pengeluaran bagi menjadikannya berdaya saing dengan jagung bijirin impot. Selain itu infrastruktur pemprosesan jagung dan rangkaian pemasaran juga perlu diperkukuhkan. Adalah di syorkan agar pemerhatian ini diulang sekali lagi menggunakan mekanisasi di Pusat Pembangunan Komoditi Titi Gantong sebagai perbandingan kepaa keputusan yang diperolehi. Walaubagaimanapun penanaman berdasarkan keputusan yang telah diperolehi, jagung bijirin ini boleh dilaksanakan menggunakan pendekatan kelompok dikawasan yang mempunyai kemudahan pemprosesan seperti di Perak. Semuga artikel ini sedikit sebanyak boleh dijadikan rujukkan dalam pembangunan jagung bijirin untuk makanan ternakan kepada semua. Wasallam!.
JAGUNG BIJIRIN... UNTUK TERNAKAN...
BANYAK DIIMPORT...NILAI JUTAAN...
JAGUNG SUWAN 3... DIBUAT KAJIAN...
BOLEH DIBACA... JADI RUJUKKAN...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Titi Gantung,
Bota, Perak,
Malaysia.
(18 JamadilAwal 1436H)
Terimakasih kepada Encik Zahimi yang buat kajian ini.
EmoticonEmoticon