BAJA GARAM UNTUK KELAPA

BAJA GARAM pada tanaman kelapa (Cocos nucifera) mampu meningkatkan hasil kelapa dengan lebih tinggi. Amalan agronomi  memberikan baja garam (NaCl) atau Salt (Sodium Chloride) atau garam biasa atau garam bukit merupakan tindakan praktikal dalam tingkatkan hasil pokok kelapa. Garam Biasa merupakan jenis 'baja' yang paling murah dipasaran yang mampu meningkatkan hasil kelapa. Saya ada menulis bagaimana usahawan kelapa pandan di Jasin Melaka yang menggunakan garam untuk menghasilkan kelapa pandan dengan lumayan (Sila klik disini). Dalam saya membuat beberapa rujukkan dengan agensi PCA (Philipines Coconut Authority) dan perbincangan saya dengan 3 pegawai kanan PCA semasa persidangan kelapa ASEAN November 2014, mereka ada memberi saya risalah terbaru mengenai perkara ini untuk saya kongsi bersama anda. Garam yang murah memberikan hasil signifikan kelapa seperti jadual di bawah yang dikeluarkan oleh PCA dimana jika tidak diberikan garam sebanyak 850 kg/ha kopra dapat dihasilkan tetapi jika sebanyak 1.0 kg/pokok diberikan hasil kopra meningkat kepada 2,000 kg sehektar. Seterusnya jika sebanyak 1.5 kg/ha/tahun diberikan memberikan hasil kopra sebanyak 2,500 kg/ha dan jika diberikan garam sebanyak 2.00 kg/pokok setahun memberikan hasil kopra 2,750 kg/ha. Ini juga berkaitan dengan kajian PCA dimana kekurangan unsur garam ini ketara dikawasan pendalaman. PCA juga menyatakan terdapat 40 lokasi tanaman kelapa di Filipina yang memang kekurangan unsur klorin yang berhasil rendah sebelum ini telah ditingkatkan hasil kopra dengan aplikasi baja garam.  Saya fikir kawasan tanaman kelapa dikawasan tanah mineral terutama dikawasan pendalaman seperti di Cohong, Jasin dan pendalaman Pahang, Johor, Perak dan lain-lainya yang jauh dari laut memang didapati singifikan menggunakan baja garam. Artikel malam Jumaat ini sambil menonton TV1 rancangan Forum Perdana Islam saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aplikasi baja garam terhadap pokok kelapa untuk meningkatkan hasil kelapa kepada anda semua.


Diantara beberapa kebaikan penggunaan baja garam pada pokok kelapa adalah mempercepatkan kadar pertumbuhan pokok kelapa, meningkatkan bilangan biji kelapa dan berat biji kelapa, mengurangkan serangan kerosakan bintik daun dan mesra alam sekitar. Satu laporan PCA menyatakan dari tahun 1991 - 1997 seluas 170,000 hektar kawasan kelapa dengan sebanyak 18 juta pokok berjaya meningkatkan hasik kelapa sebanyak tambahan 125% daripada sebelumnya. Ia juga telah diaplikasi di Indonesia bagi kawasan kelapa seluas 2 juta hektar pada masa kini. Aplikasi cara penggunaan baja garam boleh dilakukan dengan 3 cara iaitu Tabur Terus, Tabur dan di Cakar dan Bubuh garam dalam lubang. Cara beri baja garam dengan tabur terus sesuai dilakukan dikawasan tanah rata atau bercerun sedikit. Bagi kawasan yang tanah dalam cara ditabur garam diatasnya dan dicakar sedalam 2-3 inci. Cara bubuh garam dalam lubang sedalam 3-5 inci dengan jarak lubang setiap 8 - 10 inci amat sesuai dikawasan tanah bercerun atau berbukit curam. Masa menabur garam, letakkan diatas tanah pangkal kelapa seluar 1 meter garispusat dikawasan tiada rumput (dibersihkan dulu). Pada umur pokok kelapa ditapak semaian 6-8 bulan sebanyak 60-70 gram sepokok sesuai diberikan dalam 2 kali aplikasi setahun. Sebaiknya pemberian baja garam adalah pada awal musim hujan untuk kesan yang optimum. 

Lazimnya kesan baja garam dinuseri akan memberi kesan kepada pembesaran batang semaian kelapa dan ketinggian kelapa disemaian. Pemberian baja garam musim hujan perlu dilakukan dan elakkan diberikan pada musim panas serta keadaan kering disekelilingnya. Secara umumnya kadar paling sesuai dilakukan dengan memberi baja garam pada kadar 1.5 kg NaCl/pokok/tahun untuk meningkatkan hasil kopra dan penghasilan buah kelapa setiap pokok. Kadar ini dikatakan paling ekonomik dari segi aplikasi dengan dijadualkan pemberiannya berperingkat-peringkat agar tidak banyak kesan larut resap kedalam tanah. Aplikasi dengan kadar sedikit tetapi kerap adlah paling berkesan. Foto diatas menunjukkan bagaimana pokok kelapa yang sebelum ini tidak diberikan baja garam telah menunjukkan kesuburan nyata dan menghasilkan tandan buah yang lebuh banyak. Kajian PCA menunjukkan kadar pulangan ekonomik bagi tanaman kelapa banyak bergantung kos baja, hasil kelapa dan harga jualan kelapa. Penggunaan baja garam dengan kadar 1-2 kg sepokok mampu meningkatkan pendapatan tambahan dari RM813 (P10,000) sehektar kepada RM1,545 (P19,000) pada harga kopra RM0.98/kg (P12/kg). Kadar pertukaran wang antara ringgit dengan peso Filipina adalah RM1.00 = Peso 12.29 pada 12 Feb 2015. Walau pun artikel ini menerangan kesan penggunaan baja garam  makan pada pokok kelapa tetapi jangan abaikan amalan agronomi tanaman kelap yang lain seperti pengawalan perosak dan penyakit, kawalan rumpai, jadual pembajaan NPK dan baja organik serta sanitasi kebun. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasalam!.

BAJA GARAM... POKOK KELAPA...
KAWASAN INLAND...SASARNYA...
1.5 KG GARAM... TABUR BERKALA...
HASIL NAIK.. SEDIKIT KOSNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sg Terap, Kuala Selangor,
Selangor, Malaysia.
(23 RabiulAkhir 1436H)
Lawatan keprojek kelulut dan kelapa.

Artikel Terkait

Previous
Next Post »