PROJEK FERTIGASI KUALA MEDANG

PROJEK FERTIGASI di Kuala Medang, Lipis, Pahang kini merupakan satu projek yang berjaya membawa penduduk tempatan dalam menghasilkan melon dan produk lain secara fertigasi. Sistem tanaman fertigasi merupakan satu 'vertical technology in agriculture' dimana ia amat sesuai dengan perubahan zaman masa kini. Berbanding dengan cara 'convensional system' atau 'horizontal system', sistem tanaman secara fertigasi ini merupakan kaedah pertanian berteknologi tinggi dan mampu memberikan pulangan yang baik jika dilakukan dengan betul. Bagaimana pun diperingkat awal perlu ada persiapan kukuh untuk melaksanakan 'vertical technology' ini seperti keupayaan modal menyediakan asas infrastruktur serta kemudahan lain, ilmu pengetahuan tinggi dan pengurusan tanaman yang mana pengusaha perlu dilatih dahulu sehingga mahir. Melihat kepada foto diatas ianya hanya akan dicapai jika petani yang menjalankan penanaman dengan mematuhi Amalan Pertanian Baik atau MyGAP seperti dilakukan diprojek fertigasi Kuala Medang, Daerah Lipis, Pahang ini. Penulis mendapati mereka dari golongan muda mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam sistem atau cara penanaman melon sehinggakan berjaya selalu dalam menghasilkan buah melon Gred A yang agak konsistent. Projek ini yang diberikan bantuan asas daripada pelbagai pihak telah melahirkan potret kejayaan tersendiri dan berjaya menghasilkan produk 'Medang Melon' untuk dipasarkan dengan harga premium. Penulis yang melawat projek ini menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa kupasan teknikal mengenai projek ini yang boleh dicontohi dikawasan lain. 


Lawatan penulis keprojek Kuala Medang BioFarm ini bersama-sama kumpulan pegawai teknikal disambut oleh Penghulu Asyhar dan Ketua Projek iaitu Encik Rosdi dan rakan-rakannya. Terdapat 8 struktur pelindung hujan (SPH) yang dibina dengan ukuran 80 kaki x 30 kaki setiap satu. Dibina juga 8 struktur Fertigasi Rakyat yang ditanam dengan pelbagai jenis tanaman terpilih terdapat pada kawasan lapang untuk penanaman beberapa jenis sayuran dan projek fertigasi terbuka. Kemudahan bekalan air asas daripada kolam yang dibina pada perinkat awal tetapi kini kekurangan air bersih menyebabkan peserta terpaksa juga menggunakan air dirawat daripada bekalan PAIP sebagai satu alternatif. Kos membayar bil air yang dikira sebagai tariff industri amat dirasai mahal oleh peserta perojek. Walau pun ada juga beberapa usaha menggali air bawah tanah dengan telaga tiub sedalam 60-80 kaki tetapi masih gagal menjumpai air bawah tanah untuk projek ini. Mereka telah memohon bantuan pelbagai pihak untuk cuba selesaikan isu sumber air. Peserta projek akan berusaha untuk mendapatkan sumber air bumi dengan Telaga Tuib Dalam (Deep Tube Well - lebih 100 kaki dalam). Pemeriksaan dalam SPH terhadap beberapa tanaman melon penulis mendapati dimana pada keseluruhan pertumbuhan tanaman melon dan lain-lain jenis sangat memuaskan. Dengan menggunakan kanta pembesar penulis memeriksa daun dan bunga melon dan didapati tiada seekor pun aphid yang dijumpai dalam kawasan projek (Sila lihat foto disebelah). Kawalan serangga perosak dan patogen penyakit dilakukan dengan syor pakej tanaman melon secara fertigasi yang baik diamalkan. Dalam beberapa musim lepas, semua melon yang dihasilkan adalah sebiji sepokok untuk mendapatkan berat buah melebihi 1 kg sebiji. Semua hasil melon disini mendapat Gred A dan dipasarkan kepada FAMA melalui sistem ladang kontrek. Mereka mendapat harga yang agak baik pada beberapa musim lepas dengan jaminan kualiti yang konsisten.


Bagi tujuan pengawasan, selaku ketua projek En Rosdi sendiri akan mempastikan semua peserta akan mengikuti jadual pengurusan tanaman melon fertigasi. Projek ini juga telah memenangi beberapa anugerah diperingkat negeri dan kebangsaan. Antaranya adalah Juara Pertandingan Hasil Melon HPPNK dan beberapa anugerah lain lagi diperingkat negeri dan kebangsaan. Selain itu sebanyak 7 sarang koloni kelulut diletakkan disekeliling kawasan pprojek dengan menggunakan Trigona itama yang untuk bertujuan aktiviti pendebungaan. Sarang kelulut ini akan ditutup dan kelulut tidak dibenarkan keluar selama beberapa jam selepas aktiviti penyemburan racun serangga dan racun kulat dijalankan terhadap tanaman melon didalam rumah SPH. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan kelulut menyedut nektar dan pollen beracun dimana ia akan menyebabkan kemusnahan pada koloni kelulut. Peratus pendebungaan oleh kelulut pada setiap pokok mencecah 95-100% dengan ujudnya koloni kelulut dikawasan projek. Bagaimana pun bagi tujuan untuk mendapatkan buah Gred A yang tinggi, semua putik buah yang lain akan dibuang dan ditinggalkan hanya sebiji sepokok sahaja. Pemberian baja cecair (foliar fertilizer) melalui sisitem fertigasi menggunakan sukatan yang disesuaikan dengan umur pokok, persekitaran dan juga lain-lain faktor dilakukan untuk menentukan kesuburan tanaman. 


Usaha penanaman melon secara fertigasi ini membolehkan En Rosdi bin Salleh terus bersemangat meluaskan aktiviti penanaman melon sebagai satu business dan perniagaan. Kini beliau merupakan seorang pengusaha dan juga sebagai pakarunding dalam teknologi penanaman melon secara fertigasi. Beliau memberikan latihan kepada mereka yang berminat terutama golongan belia untuk menceburkan diri dalam pertanian seperti projek fertigasi yang sesuai dijalankan pada masa ini. Amalan agronomi dan pakej teknologi penanaman melon dan beberapa tanaman lain secara fertigasi kini telah banyak diketahui oleh masyarakat umum. Sebut sahaja sistem tanaman fertigasi kita mempunyai Sistem Fertigasi Gantung, Sistem Fertigasi Rakyat, Sistem Fertigasi Terbuka dan Sistem Fertigasi dibawah Rumah SPH. Jenama 'Medang Melon' akan diperluaskan pada masa akan datang sebagai satu jenama produk melon yang berkualiti sama seperti apa yang telah dilakukan oleh peserta projek TKPM Tok Dor di Besut, Terengganu yang memberi jenama melon 'Besut Sweets'. Mereka berusaha untuk menambah lagi keluasan kawasan penanaman melon secara fertigasi dimasa akan datang dengan pelan perancangan yang telah disusun. Semuga projek ini akan berterusan menjadi pengeluar bahan makanan untuk negara. Wasallam!.


PROJEK FERTIGASI... TEKNOLOGI BARU...
MODAL AWAL TINGGI... PERLU ADA ILMU...
TANAMAN MELON...PENJAGAAN PERLU...
HASIL BERKUALITI...HARGA BAIK SELALU... 

By,
M Anem,
Snior Agronomist,
Projek Fertigasi Kuala Medang BioFarm,
Kuala Medang, Kuala Lipis,
Pahang, Malaysia.
(4 JamadilAkhir 1437H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »