TUKUN TIRUAN

TUKUN adalah merupakan suatu tempat didasar laut yang menjadi umpama rumah ataupun tempat pembiakan atau perlindungan bagi habitat laut seperti ikan dan haiwan lain. Dalam keadaan semula jadi apa yang dikatakan tukun ni asalnya terjadi daripada batu batu karang tetapi kini telah berkurangan akibat perbuatan manusia dan juga kitaran alam. Biasanya dikawasan tukun ini ikan-ikan kecil akan berkumpul secara berkumpulan dan sekaligus ianya akan mengundang kehadiran ikan ikan yang lebih besar datang untuk mencari makanan. Dikawasan tukun ini juga akan didapati sesetengah habitat laut menjadikan ianya sebagai tempat perlindungan daripada pemangsa. Kini dengan kajian yang dilakukan oleh para saintis telah dibuat inovasi iaitu rekacipta telah membuat "TukunTiruan". Tukun Tiruan ialah bahan binaan manusia atau bahan semulajadi seperti batu yang diletakkan di dasar laut untuk dijadikan sebagai satu habitat tiruan kepada pelbagai hidupan marin terutama ikan. Ada juga tukun tukun tiruan yang dihasilkan dengan cara menenggelamkan bot bot lama. Struktur tukun ini selepas satu tempoh tertentu akan berkembang menjadi satu ekosistem semulajadi yang lengkap dan tempoh perubahan ini mengambil masa kira-kira setahun bergantung kepada keadaan persekitaran tukun berkenaan diletakkan. Spesies ikan komersil yang selalu ditemui di kawasan tukun tiruan ialah ikan kerapu, merah, jenahak, kaci, tebal bibir, delah, dengkis, tetanda, yu, pari dan lain-lain. Walau bagaimanapun bukan semua spesies ini kekal berada pada sepanjang tahun. Banyak spesies hanya singgah untuk membiak, berlindung atau mencari makanan buat sementara waktu sahaja sebelum berpindah ke tempat lain mengikut kitaran hidupnya. Peranan tukun dalam laut adalah sangat signifikan dalam teknologi perikanan yang perlu dirancang dengan baik demi mempastikan sumber ikan laut adan terus ada. Artikel petang Ahad ini saya menulsi dalam "Anim Agro Technology" mengenai pembinaan tukun tiruan sebagai satu perkara yang penting dalam sektor perikanan laut.


Pemasangan tukun dari konkrit memang lazim dibuat di negara kita dan dilepaskan dilokasi tertentu dalam laut (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya ikan yang tinggal dikawasan tukun akan berpindah yang disebabkan oleh perubahan faktor fizikal dan biologikal persekitaran laut. Kawasan tukun juga dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan yang masih berada pada peringkat larva dan juvenil pada masa-masa tertentu..Pembangunan tukun tiruan adalah salah satu kaedah untuk meningkatkan sumber perikanan terutama di kawasan persisiran pantai..Sehingga kini, kebanyakan negara di dunia telah banyak yang mempraktikkan teknologi tukun tiruan ini untuk pelbagai kegunaan industri perikanan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan sehingga ke lokasi rekreasi. sebagai kawasan untuk memancing. Selain daripada tukun konkrit yang mahal, tukun tiruan ini pernah dibuat daripada tayar terpakai yang diikat dan ditenggelamkan, bot-bot kayu lama yang ditenggelamkan dan sebagainya.


Dalam memahami akan dunia perikanan laut, seringkali kita mendengar keluhan nelayan kecil mengharungi aktiviti seharian di laut dan kesukaran mencari sumber ikan. Bukan saja bekalan ikan semakin berkurangan, tetapi berdepan isu pencerobohan bot tunda di kawasan tangkapan oleh nelayan yang tidak. Kegiatan nelayan bot tunda ini bukan saja menyebabkan berkurangnya bilangan ikan, tetapi merosakkan tuas tempat pembiakan ikan. Jabatan Perikanan mengambil inisiatif membangunkan tukun tiruan jenis keluli bagi membantu mengatasi masalah golongan berkenaan. Tukun tiruan keluli ini mampu menarik perhatian ikan dan mempercepatkan proses pertumbuhan plankton. Malah binaan tukun tiruan menghalang bot besar daripada melabuhkan pukat di situ. Pembinaan tukun terbabit berikutan kejayaan penggunaan tukun jenis tayar, konkrit dan bangkai kapal yang diperkenalkan sejak tahun 1975.


Tukun Keluli lazimnya mampu bertahan selama 50 tahun itu memberi manfaat kepada lebih 4,000 nelayan berbanding dengan tukun bot kayu atau tukun tayar yang kurang jangkamasa ketahanannya.  Pembinaan tukun keluli yang telah menggunakan kepakaran tempatan ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran. Jabatan Perikanan mendapat peruntukan RM2.5 juta daripada kerajaan untuk membina 55 tukun dengan setiap satunya mempunyai berat 13 tan. Projek membuat tukun ini telah berjaya meletakkan atau melabuhkan di perairan Kedah bermula dari Kuala Sala sehingga Kuala Jerlun sejak Oktober lalu. Tukun tiruan itu kini menjadi pusat tumpuan ikan seperti kerapu, tenggiri dan jenahak. Hasil kajian juga menunjukkan semenjak tahun 1985 maklumat pendaratan ikan di Kedah sebanyak 75,615 tan metrik dan meningkat kepada 112,876 tan metrik pada 2013 dengan kesan pembinaan tukun tiruan. Semenjak program tukun itu diperkenalkan dilaporkan nelayan tempatan kini mampu memperoleh ikan sehingga 60 kilogram sehari. Ini merupakan peningkatan hampir 100 peratus berbanding sebelum ini. Kini nelayan tempatan juga turut menawarkan perkhidmatan bot memancing kepada kaki pancing sebagai aktiviti agropelancongan memancing dikawasan tukun yang memang menyeronokkan pemancing. Semuga artikel ini mampu memberi info berguna dari tulisan saya. Waallam!.


TUKUN TIRUAN... PERLI DIBINA...
TUKUN KELULI... KONKRIT JUGA...
DALAM AIR... IKAN SANGAT SUKA...
MEMBIAK MEMBESAR... BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 320, Hotel Putra Brasmana,
Kuala Perlis, Perlis,
Malaysia.
(2 Rabiulakhir 1436H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »